Harapan rakyat pada PDRM
Oleh: SALLEH BUANG

KIRA-KIRA tiga tahun lalu, dalam komen saya bertajuk ''Memelihara Imej PDRM'' (disiarkan dalam ruangan ini pada awal 1996), ada saya nyatakan, antara lain, bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa itu sedang mengambil langkah-langkah tertentu untuk memulihkan imejnya yang pada ketika itu agak terjejas sedikit disebabkan beberapa peristiwa kurang sihat yang telah berlaku sepanjang 1995.

Saya juga telah memetik pandangan Tan Sri Rahim Noor, Ketua Polis Negara (KPN), apabila beliau dilaporkan berkata bahawa PDRM ''memandang serius'' insiden-insiden tersebut, dan seterusnya apabila beliau berjanji akan mengambil langkah-langkah segera untuk memperbaiki keadaan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM.

Jika kalian pembaca setia ruangan ini masih ingat, antara insiden-insiden yang menjadi asas teguran oleh pelbagai pihak terhadap PRM itu adalah seperti berikut:-

* Pertama, tiga orang pegawai polis dikatakan (alleged) telah merompak RM1,000 dari sekumpulan pekerja asing di Nilai, Negeri Sembilan.

* Kedua, pada 31 Disember 1995 seorang pegawai polis (berumur 39 tahun) telah menembak dan membunuh seorang pegawai polis lain (teman sekerjanya) di Kota Bharu. Peristiwa ini khabarnya berlaku di ibu pejabat polis di bandar itu.

* Ketiga, dua hari sebelumnya iaitu pada 29 Disember 1995, seorang pegawai polis (berumur 27 tahun) telah ditangkap dan ditahan kerana disyaki merompak 5 orang asing (pendatang dari Bangladesh). Peristiwa tersebut dikatakan berlaku di Petaling Jaya, Selangor.

* Keempat, pada 16 November 1995, seorang inspektor polis (berumur 32 tahun) telah menembak ke arah sekumpulan Pegawai Penguat kuasa Agama Negeri Kedah yang cuba menangkapnya dalam satu operasi mencegah maksiat.

 Tembakan itu telah mencederakan Muhyaluddin Jidun, dan orang itu akhirnya telah meninggal dunia di hospital. Satu prosiding jenayah telah dijalankan terhadap pegawai polis berkenaan. Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi akhirnya memutuskan dia tidak bersalah dan pegawai polis berkenaan telah dibebaskan.

* Kelima, pada 28 Oktober 1995, seorang koperal polis (berumur 39 tahun) telah mengamuk. Bersenjatakan 2 rifle M-16 dan satu revolver, pegawai polis ini telah membunuh dua orang awam (termasuk seorang kanak-kanak kecil berumur 9 tahun) dan mencederakan 9 orang lain. Peristiwa amuk ini bermula di Slim River dan berakhir di Lengkok Tasik, Canning Garden, Ipoh, apabila akhirnya pegawai polis berkenaan dapat dikepung dan ditembak mati oleh pegawai-pegawai polis lain.

Selain lima insiden di atas tadi, satu lagi peristiwa buruk yang dilihat sebagai benar-benar menggugat keyakinan rakyat jelata terhadap PDRM ialah kematian seorang mekanik, Lee Quat Leong, semasa ia berada dalam tahanan polis.

 Pada 28 November 1995, magistret yang menjalankan ''siasatan kehakiman'' (judicial inquiry) kematian mekanik itu memutuskan bahawa 11 orang pegawai polis terlibat dalam kematian itu. Siasatan kehakiman ke atas kematian Lee itu dijalankan atas perintah Peguam Negara, Datuk Mohtar Abdullah. Peguam Negara telah mengeluarkan perintah itu kerana beliau tidak puas hati dengan kegagalan PDRM menyempurnakan siasatan mereka untuk menentukan siapakah yang bertanggungjawab atas kematian Lee dalam tahanan itu.

Saya rasa pembaca ruangan ini masih ingat bahawa Lee, si mati, ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam rompakan di cawangan Mayban Finance di Taman Cheras, Kuala Lumpur, pada 27 April 1995. Lee mati di pusat tahanan polis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 12 Mei 1995.

Ekoran laporan media mengenai insiden-insiden tidak menyenangkan ini, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Jamil Johari, telah menyatakan harapannya agar segala pandangan dan komen orang ramai terhadap PDRM itu dapat ''dilihat secara positif'', iaitu sebagai satu isyarat yang menunjukkan rakyat jelata mengharapkan sesuatu yang terbaik dari PDRM.

 Jamil selanjutnya mengingatkan orang awam bahawa pada keseluruhannya disiplin anggota polis adalah baik. Dalam jangka waktu lima tahun sebelumnya (iaitu antara 1990 hingga 1995) tindakan tatatertib yang telah dijalankan terhadap anggota PDRM (yang berjumlah 80,000 orang pada ketika itu) hanya sekadar 3% hingga 5% - iaitu satu angka yang masih rendah sekali.
Timbalan KPN (pada ketika itu), Datuk Samsuri Arshad, ada juga dilaporkan sebagai berkata bahawa satu mesyuarat di peringkat tinggi telah pun diadakan untuk membincangkan ''beberapa kaedah'' bagi membanteras perbuatan jenayah di kalangan anggota polis dan dalam waktu yang sama meningkatkan imej PDRM di kaca mata rakyat.

Apabila diminta mengulas pendedahan akhbar tempatan tentang insiden-insiden yang disebutkan di atas tadi, Tan Sri Rahim menjawab bahawa insiden-insiden ini merupakan kes-kes terpinggir (remote cases). Malangnya, keghairahan pihak media untuk terus menerus melaporkan kes-kes itu memberi gambaran seolah-olahnya keseluruhan anggota polis di negara ini terlibat, tambahnya lagi.

Semua itu berlaku tiga tahun yang lalu. Dari tarikh itu hinggalah ke tarikh ini, cerita-cerita mengenai insiden kurang menyenangkan seperti itu tidak kedengaran lagi. Perkembangan baik ini sesungguhnya melegakan kita, kerana nampaknya ''kaedah-kedah yang disebutkan oleh Datuk Samsuri dulu itu sudah berkesan untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi sebelumnya. Dan keyakinan rakyat kepada PDRM kembali pulih seperti sedia kala.

Oleh itu, alangkah terkejutnya kita apabila media cetak dan media elektronik tempatan dan luar negara menyiarkan gambar foto wajah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewaktu beliau dibawa ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan terhadap dirinya.

Mata kasar kita melihat sesuatu yang tak kena di situ, lalu bertanyalah hati kecil kita apa sudah berlaku?

Tanpa berhasrat untuk campur tangan, membuat prejudgment atau menyebelahi mana-mana pihak tertentu dalam hal yang rumit ini, apa yang hendak saya katakan dengan rendah hati di sini ialah jika pada satu masa dulu, perkara seperti ini hanya mendapat liputan dari media tempatan sahaja, kini disebabkan pengaruh dan kuasa Internet, apa sahaja yang berlaku di negara kita boleh diketahui (dan sudah semestinya dijadikan bahan perbincangan) oleh semua pihak di merata pelusuk dunia dalam sekelip mata. Saya rasa rakyat yang sayangkan negara ini dan mahu mengekalkan imej dan maruah bangsa sama sekali tidak mahu apa-apa pun berlaku di sini yang boleh dijadikan bahan cemuhan dan celaan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Berasaskan premis inilah kita sewajarnya menyambut baik segala aku janji yang dibuat oleh semua pihak yang terbabit bahawa apa jua aduan oleh mana-mana pihak yang mengatakan bahawa seseorang itu dikatakan telah didera atau dikasari semasa berada dalam tahanan PDRM (sama ada di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Kanun Acara Jenayah) akan disiasat sepenuhnya secara teliti, adil dan saksama untuk menentukan sama ada dakwaan atau aduan itu benar (berasas) atau pun tidak.

Akhbar tempatan awal bulan ini menyiarkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, bahawa ''siasatan terperinci akan dilakukan terhadap dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau cedera dipukul semasa di tahan'' (lihat Utusan Malaysia, 1 Oktober 1998). Selanjutnya akhbar yang sama menyebutkan aku janji Perdana Menteri bahawa ''sebuah pasukan khas'' akan membantu siasatan dan ''jika terbukti dakwaan Anwar itu benar, tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pihak yang terbabit''.

Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada hari yang sama, Datuk Hishammuddin Tun Hussein (seorang bekas pengamal undang-undang yang kini memegang jawatan timbalan menteri) dilaporkan sebagai berkata bahawa andainya aduan Anwar itu betul dan berasas, pegawai-pegawai polis yang terlibat hendaklah dikenakan tindakan jenayah (lihat New Straits Times, 1 Oktober 1998). Hishammuddin selanjutnya menambah bahawa ''Tak ada seorang pun di negara ini yang mengatasi undang-undang'' dan jika apa yang didakwa oleh Anwar itu benar, sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan salah itu hendaklah diheret ke mahkamah.

Majlis Peguam Malaysia, yang terpaksa turut prihatin dalam perkara ini (kerana dua orang pengamal undang-undang kini ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) menyatakan rasa kesalnya kepada apa yang berlaku dan meminta ''penyiasatan yang adil terhadap dakwaan kecederaan yang berlaku'' itu (Lihat Utusan Malaysia tarikh yang sama). Sabtu lalu, di akhir mesyuarat agung tergemparnya (EGM) yang dihadiri kira-kira 2,500 pengamal undang-undang dari seluruh negara, Majlis Peguam telah meluluskan usul, antara lain, mendesak kerajaan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry) bagi menyiasat dakwaan berlaku kekasaran terhadap mereka yang berada dalam tahanan polis (Lihat Mingguan Malaysia 11 Oktober).

Sebagaimana tiga tahun lalu, PDRM telah bersikap positif dan mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku ketika itu dan kemudiannya bertindak segera mengatasi masalah dalamannya bagi maksud memulihkan imejnya, kini kita juga mengharapkan sesuatu yang baik, luhur dan murni akan timbul dari ''Tragedi September'' lalu. Tidak sebaliknya.

Rencana ini disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 13 Oktober 1998.