UMNO PERASAN KERAJAAN TU HAK DEPA SAJA
Oleh Ali Allah Ditta

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan orang Melayu supaya jangan sewenang-wenangnya cuba menggantikan kerajaan pimpinan UMNO dengan parti siasah lain kerana tindakan itu mungkin mencetuskan ledakan politik yang membawa kepada campurtangan kuasa asing. Timbalan Presiden UMNO berkata ini boleh berlaku kerana orang Melayu tidak mempunyai alternatif baik yang dapat menggantikan peranan UMNO daripada segi pengalaman dan kematangan memimpin sebuah kerajaan yang mendapat keyakinan rakyat majmuk di negara ini.

Adakah perubahan kerajaan di Kelantan dan Terengganu kini dan di Sabah dan Pulau Pinang pada satu ketika dulu telah membawa campurtangan kuasa-kuasa asing? Adakah pemimpin-pemimpin kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu tidak matang dan tidak berpengalaman memimpin sesebuah kerajaan? Kalau pemimpin-pemimpin PAS ini tidak matang dan tidak berpengalaman sudah tentu kerajaan PAS di Kelantan lama dah tumbang, tetapi sebaliknya PAS terus berkuasa sejak tahun 1990 lagi. Demikianlah mentaliti UMNO dan pemimpin-pemimpinnya yang begitu takut tentang kehilangan kuasa hinggakan terpaksa membuat kenyataan bodoh sebegini.

Abdullah Badawi perlu ingat dalam sistem demokrasi kuasa memilih terletak di tangan rakyat dan rakyat menentukan siapa yang harus mereka pilih untuk menerajui negara. Di Britain kuasa kerajaan negeri sering silih bertukar ganti antara parti Buruh dan parti Konservertif. Di Amerika Syarikat di antara parti Republikan dan Demokrat. Demokrasi di Britain diamalkan menurut lunas-lunas demokrasi sebenarnya kerana mereka memahami konsep kerajaan dan parti.

Baru-baru ini PM Blair telah dihadapkan ke satu jawatankuasa yang menyiasat sama ada Blair telah menggunakan dokumen-dokumen palsu semasa tindakannya menyokong Amerika Syarikat untuk menyerang Iraq. Di Malaysia, siapa yang berani untuk menghadapkan Mahathir ke mahkamah? Walaupun Mahathir pernah disapina oleh mahkamah Mahathir tetap tidak mahu hadir. Adakah polis buat apa-apa? Sebaliknya Mahathir boleh tanya pula apa soalan yang hakim nak tanya dia! Inilah mentaliti seorang pemimpin yang sangat disanjungi UMNO.

Di Malaysia UMNO menganggap bahawa kerajaan itu UMNO dan UMNO itu kerajaan. Maka tidak hairanlah di Malaysia kita dapati bahawa polis, hakim, peguam negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, media-media massa termasuk RTM, dan jabatan-jabatan kerajaan selain daripada membantu kerajaan yang memerintah juga menjaga kepentingan- kepentingan UMNO. Malah agensi-agensi kerajaan ini seolah-olah menjadi komponen dalam kerajaan BN/UMNO.

UMNO akan berusaha mengekalkan kuasa dan sanggup buat apa saja. UMNO sanggup membawa pengundi-pengundi hantu, undi-undi pos, mengubah persempadanan kawasan pilihanraya dengan kerjasama SPR bagi menentukan UMNO terus berkuasa. Apa yang pelik ialah dalam persempadanan baru ini negeri-negeri yang majoritinya orang-orang Melayu, seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu tidak diberi tambahan kerusi Parlimen. Kenapa? Saya rasa orang-orang UMNO tahu jawapannya. UMNO sudah menganggap kawasan majoriti Melayu sudah lagi tidak selamat.

Dalam sistem demokrasi apabila kerajaan bertukar, tidak bererti akan berlaku ledakan politik yang serious seperti yang diramalkan Abdullah Badawi. Bila UMNO tewas di Kelantan dan Terengganu tidak pun berlaku huru hara. Rakyat Kelantan dan Terengganu hidup macam biasa. Tidak ada kaum pelarian dari Kelantan dan Terengganu yang lari pindah ke negeri-negeri jiran Pahang atau Kedah. Malah setiap musim cuti ribuan orang melawat Kelantan dan Terengganu.

Abdullah Badawi perlu ingat bahawa yang berubah itu kerajaan, tetapi polis, tentera dan jabatan-jabatan kerajaan menjalankan urusan mereka seperti biasa. Pegawai-pegawai kerajaan tetap bertugas seperti biasa di bawah pentadbiran dan pengurusan yang baru. Ibarat sebuah syarikat kicap yang mendapat pengurusan baru,apa yang bertukar itu mungkin labelnya tetapi isi kandungan kicap itu pada umumnya sama saja.

UMNO takut kalau mereka kalah mereka akan kehilangan kuasa. Bila UMNO hilang kuasa maka habislah peluang mereka untuk menggagau wang rakyat, habislah peluang mereka untuk menyamun dan merompak royalti minyak. Nanti kroni-kroni dan anak pinak mereka pula akan ternganga kerana kehilangan sumber rezki untuk mendapatkan wang berbillion-billion ringgit.

UMNO juga takut bila mereka kalah ramai di antara mereka, terutamanya pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang pernah menjadi menteri, menteri besar, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan tidak lupa Mahathir sendiri akan diheret ke mahkamah kerana rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan. Demikian takutnya UMNO hinggakan mereka sanggup buat apa saja asalkan kemenangan mereka terjamin dalam setiap pilihan raya.

Rakyat tidak perlu bimbang dengan perubahan ini. Jikalau mereka rasakan bahawa UMNO itu sudah rosak dan kian reput sudah tiba masanya rakyat tukarkan mereka. Apakah rakyat mahu amalan-amalan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa yang begitu ketara di bawah kerajaan UMNO berterusan?

Selama ini PAS begitu konsisten dalam perjuangannya dalam isu agama dan kesinambungan pemerintahan Melayu Islam di Malaysia berbanding UMNO. Mahathir dan UMNO isytihar Malaysia negara Islam, tetapi pusat-pusat perjudian kian bertambah dan yang terbaru ialah di Bukit Tinggi dan Pulau Tioman.

UMNO mengambil berbagai kesempatan untuk mencaci cerca parti-parti pembangkang dalam perhimpunan mereka tahun ini. Salah satu daripada usaha mereka ini ialah mengutuk perbuatan PAS yang kononnya telah menghina “tokguru Mahathir” melalui sebuah karikatur yang tersiar dalam Harakah baru-baru ini.

Karikatur/caricature bermaksud “a pictorial, written, or acted representation of a person, which exaggerates his characteristic traits for comic effect” Mereka yang memahami elemen karikutur sebagai satu alat komunikasi yang membawa mesej tertentu sudah tentu faham mesej sesuatu karikatur itu. Karikatur Zunar dalam Harakah itu membawa mesej betapa marahnya orang-orang Melayu terhadap Mahathir kerana sikap kurang ajarnya menghina Anwar Ibrahim, merogol sistem kehakiman, menghina tokoh agama dan bertindak biadab untuk menyekat pengajian agama Islam dalam negara ini.

Mahathir juga bertindak menyekat polimik rakyat secara terbuka, membendung kebebasan bersuara dan melarang terbitan-terbitan akhbar secara bebas. Segala media massa termasuk TV dan radio dimonopoli ketat oleh kerajaan hinggakan rakyat tidak berpeluang untuk menjawab. Ramai pemimpin-pemimpin pembangkang ditangkap menggunakan ISA. Wang rakyat digunakan untuk membiayai projek-projek mega, bailout kroni-kroni tertentu. Jadi rakyat mana yang tidak marah, terutamanya orang-orang Melayu. Lukisan karikatur begini adalah kaedah terbaik menyampaikan maksud serta membolehkan rakyat meluahkan perasaan benci mereka kepada Mahathir dengan kerajaannya.

Maka ramailah lembu-lembu pawah UMNO yang menghadiri persidangan pun mohon agar Harakah diharamkan dan meminta agar permohonan maaf dari PAS ditolak. Sebelum PAS mohon maaf, UMNO juga patut mohon maaf terhadap Anwar kerana Mahathir menuduh Anwar memukul diri sendiri sedangkan kecederaan itu berpunca daripada seekor anjing peliharaan Mahathir bernama Rahim Noor. Begitu juga tindakan Mahathir mengaibkan Tengku Razaleigh melalui gambar Tengku Razaleigh memakai tanjak salib 24 jam sebelum pembuangan undi pilihan raya umum 1991 dulu. Tuduhan mana lebih hina mengatakan Mahathir itu seperti khinzir atau menyatakan seseorang Islam itu murtad?

Seperti yang diduga Mahathir menangis teresak-esak dalam amanat terakhirnya sebagai Presiden UMNO dalam perhimpunan tahun ini. Mungkin Mahathir hendak meraih simpati daripada lembu-lembu pawah yang hadir dalam persidangan UMNO 2003 itu. Sejauh manakah teriak tangis Mahathir menunjukkan hati kecil Mahathir benar-benar mahu mengundur diri? Tidak siapa yang boleh menduga.

Bagi saya, walau bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO berikrar tidak akan menggugat kedudukan Abdullah Badawi sebagai bakal PM, Abdullah Badawi masih tidak selamat kerana Mahathir masih berkuasa hingga Oktober ini dan dalam tempoh yang singkat itu macam-macam boleh jadi. Ingat tak kisah Mahathir dan Anwar dahulu. Can we really trust Mahathir?

ALI ALLAH DITTA - 20.06.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!