UMNO: CAKAP TAK SERUPA BIKIN
Oleh Ali Allah Ditta

Perhimpunan Pok Amai-amai dah lama berlalu namun, media massa seperti TV1,3 & 7 masih lagi hangat membincangkan tentang ucapan Mahathir itu dan mendewa-dewakannya. Tetamu demi tetamu dijemput serta rancangan-rancangan khas dibuat untuk memuji-muji si haprak tua yang akan berpencen Oktober ini.

Beberapa orang rakan saya telah menegur saya kerana terlalu sangat marahkan UMNO, tambah-tambah lagi Mahathir. Bagi sesetengah rakan saya itu, ucapan Mahathir itu dianggap best sekali tahun ini. Kata mereka, Mahathir tidak menangis pun dan ucapannya bernas jadi kenapa saya harus mengutuknya? Kalau itulah keadaannya maka adalah menjadi hak mereka dan saya tidak akan mempertikaikannya. Apa yang baik bagi seseorang itu tidak semestinya baik bagi orang lain. Setiap orang berhak mempunyai pendirian masing-masing.

Bagi saya, ucapan Mahathir tentang ancaman penaklukan kuasa-kuasa barat dan tentang Islam itu adalah ibarat cakap tak serupa bikin. Di dalam dewan PWTC Mahathir berkokok berderai-derai memaki hamun penjajahan yang bakal dilakukan oleh orang kulit putih – Eropah dan Amerika Syarikat. Tetapi mahu tak mahu kepada penjajah orang kulit putih ini jugalah Mahathir melutut untuk meminta mereka melabur di negara ini serta membuka peluang-peluang perdagangan dan perniagaan di negara mereka. Tidak lama dahulu Mahathir pernah melobi berbulan-bulan kerana hendak bertemu seorang kulit putih bernama George Bush di White House dengan menggunakan orang perantara yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.

Adakah Mahathir pernah merujuk ucapannya tentang Islam itu kepada ulamak-ulamak UMNO, sebelum Mahathir berhujah? Saya berani kata, tidak seorang daripada ulamak UMNO itu berani menegur Mahathir berkaitan isu Islam. Bukankah  Mahathir itu lebih berkuasa daripada sultan dan raja sehinggakan Mahathir adalah 'immune' daripada sebarang tindakan dan dakwaan?

Saya juga hairan kenapa soal judi dan kasino tidak dibangkitkan dalam perbahasan perwakilan sedangkan itu adalah isu hangat masa kini dan ianya berkaitan dengan negara Islam Mahathir.

Soal lesen judi dan kasino adalah isu hangat hinggakan Mahathir terpaksa menafikan dalam media massa dan menyatakan lesen judi itu hanya untuk orang-orang bukan-Melayu saja. Sports Toto, Magnum Empat Nombor Ekor dan 3D juga adalah judi dikhaskan untuk orang-orang bukan-Melayu. Tetapi hampir 50% kaki judi yang membeli nombor Sports Toto, Magnum Empat Nombor Ekor dan 3D ini adalah orang-orang Melayu! Kalau rakan-rakan saya itu tak percaya, saya jemput mereka ke mana-mana kedai Empat Nombor Ekor atau Sports Toto atau kedai 3D ini dan saksikan selama setengah jam sudah, kaum mana yang paling ramai sekali berjudi, Melayu atau bukan-Melayu?

Mahathir kata mesin judi di Bukit Tinggi Resort hanyalah untuk mereka yang bukan-Islam yang menjadi ahli. Tetapi mengikut jurucakap Bukit Tinggi Resort, sesiapa saja boleh jadi ahli dengan bayaran RM16.00 saja!- refundable. Satu tawaran hebat dalam negara Islam Malaysia kan? Lagi pula lesen judi itu diluluskan kepada kroni Mahathir, Vincent Tan, kenapa tidak pada orang lain ya?

Kerja merobohkan surau di Bangi itu arahan dan angkara siapa? Sedangkan, bila nak roboh tokong atau kuil sekalipun memakan masa bertahun-tahun selepas beberapa puluh rundingan dibuat. Janganlah bertindak ganas macam si samseng Bush atau Blair itu, walaupun kamu(UMNO) berkuasa. Kenapa nak tunjuk berani kepada orang Melayu saja?

Seperti saya katakan berulang-ulang kali, sememangnya UMNO dan Mahathir memperkudakan media massa, RTM,TV1, 2, 3,7 untuk cita-cita politik mereka. Sebagai seorang rakyat yang membayar cukai, adalah menjadi hak saya untuk menikmati dan menerima maklumat melalui media-media massa ini. Tetapi yang amat membosankan ialah bila media-media massa ini dijadikan alat propaganda UMNO untuk menyebarkan dakyah-dakyah lapoknya

Ada yang mengatakan bahawa UMNO sebagai tulang belakang kerajaan maka UMNO berhak untuk diberi ruangan liputan perhimpunan agung UMNO dalam media massa kerajaan seperti melalui TV 1,2,3 & 7. Saya tahu bahawa UMNO itu tunggak kerajaan tetapi UMNO juga harus tahu untuk membezakan konsep kerajaan dan konsep parti. Ini kerajaan BN bukan kerajaan UMNO. UMNO tidak boleh membentuk kerajaan tanpa rakan-rakan sebantalnya. Saya yakin rakan-rakan sebantalnya daripada MCA, MIC dan Gerakan pun rasa meluat dengan liputan perhimpunan agung UMNO yang berjam-jam lamanya itu.

Mereka juga berhujah bahawa nasib bangsa sebenarnya sudah mencapai satu tahap yang membanggakan. Namun masih terdapat orang seperti saya yang sentiasa tidak pernah puas hati dan berterima kasih. Saya tidak menafikan bahawa orang-orang Melayu telah mencapai satu tahap kehidupan yang membanggakan. Pencapaian pembangunan sesebuah negara itu adalah mengikut arus pembangunan semasa, yang bersifat global. Tidak semestinya pembangunan ini disebabkan oleh UMNO saja. Kalau parti lain memerintah pun tahap pembangunan yang sama boleh kita kecapi. Kelantan dan Terengganu tidak menjadi mundur dengan tiba-tiba kerana PAS memerintah. Pembangunan di Kelantan dan Terengganu tetap berterusan. Kenapa ahli-ahli UMNO begitu naïve tentang hal ini? Jangan perasan UMNO saja yang berhak menjadi pemerintah di negara ini.

Tambah mereka lagi kalaulah saya ni dilahirkan di rantau Melayu lain, umpamanya Aceh, Jawa, Sulawesi... Apa pula nasib saya? Mungkin apa yang saya dapat harapkan adalah nasi sepinggan setiap hari. Kiranya rakyat di Acheh, Jawa dan Sulawesi itu bernasib baiklah kerana dapat juga nasi sepinggan setiap hari. Tetapi, tahukah mereka ada ribuan rakyat di kampung-kampung di Weng, Baling, Yan, Ulu Kelantan, Ulu Tembeling dsbnya, yang masih minum air sungai atau parit, makan ubi kayu, berulamkan pucuk pegaga sekali setiap hari? Mahathir sendiri mengaku bahawa kehidupan rakyat di Tanjong Tokong, Pulau Pinang masih pada tahap di zaman perang dulu! Semua ini angkara siapa?

Kata rakan2 saya, “inilah dia, orang yang hidupnya sudah baik baik... tapi tak puas lagi..... sungguhpun menjadi hak kerajaan untuk menjaga rakyatnya, apa yang telah dilakukan UMNO sudah lebih daripada memadai….” Jawapan saya mudah sekali, inilah mentaliti orang UMNO sekadar cukup dengan apa yang gomen bagi tidak payah minta lebih! Kalau rakan-rakan saya ini boleh hidup mewah di Putrajaya, Kuala Lumpur atau Johor Bahru, salahkah kemewahan yang sama diberikan kepada rakyat di Tanjong Tokong atau di Baling atau di Ketereh?

Kalau UMNO hendak bawa pembangunan biarlah pembangunan itu sama rata. Kalau UMNO hendak memajukan orang Melayu biarlah semua orang Melayu menikmati kemajuannya cara adil dan saksama. Mahathir dan UMNO/BN, tidak guna berbangga-bangga dengan menara kembar Petronas, Litar F1, KLIA, Bukit Jalil, LRT dan sebagainya, sedangkan jalan menuju ke ribuan kampung di negara ini masih tidak bertar, rumah-rumah dan sekolah-sekolah di pedalaman masih tidak berelektrik dan paip air? Masalah setinggan di sekitar Kuala Lumpur sampai hari ini pun belum selesai.

Bagi saya, UMNO tidak memperjuangkan nasib kaum bumiputera seperti yang diamanahkan, sebaliknya hanya berjaya mewujudkan golongan UMNOPUTRA, ia itu segolongan kecil elit Melayu UMNO yang menjadi kaya raya hasil daripada memperolehi tender dan kotrak mengikut amalan kronisma dan nepotisma Mahathir. Apabila kaum kerabat UMNOPUTRA ini menghadapi masalah, tabung dan duit rakyatlah yang digagaunya bagi melunaskan hutang piutang lapok mereka. Bukan setakat tabung rakyat dibalun, habis harta2 dan khazanah negara juga ditibaiya sekali.

Itulah budaya UMNO yang hanya mementingkan kuasa, kedudukan dan pangkat demi kesenangan sendiri. Walaupun kecurangan terang-terangan berlaku di hadapan mata mereka, tapi ahli-ahli UMNO masih lagi buta! Bukan sekadar buta mata tapi juga buta hati-perut. Mungkin para perwakilan juga sudah lupa apa yang Mahathir buat kepada DSAI. Betullah kata Mahathir, Melayu mudah lupa, iaitu Melayu UMNO. Itulah perangai UMNO dulu kini dan selama-lamanya.

ALI ALLAH DITTA - 01.07.2003 (suntingan M@RHAEN)


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!