Menelusuri Keperibadian Fatimah Az-Zahra

(Artikel ini dihasilkan sempena sambutan ulangtahun kesyahidan Fatimah Az- Zahra -Penghulu Segala Wanita pada 2 Ogos 2003)
Oleh: Arif Mufaz  <arifmufaz@yahoo.com>

Hari ini adalah hari kesyahidan wanita termulia dan agung iaitu Fatimah Az Zahra. Dialah wanita yang terhindar dari segala noda dan dosa. Dia membawa pesan-pesan luhur, nilai-nilai cinta, belas kasih, dan kedermawan. Hatinya berdetik hanya demi kebahagian dan kesejahteraan umat manusia.

Lahirnya Fatimah Az Zahra adalah berkat dan rahmat Ilahi. Kerana wujudnya yang agung dan mulia telah mengakhiri mitos tentang rendahnya martabat kaum wanita, dan sebaliknya mengangkat darjat kaum hawa.

Fatimah adalah puteri tercinta Baginda Nabi Muhammad SAW. Kalau Rasulullah SAW adalah lelaki yang mulia, maka Fatimah adalah wanita yang paling mulia. Dialah yang mendapat gelar Sayyidati Nisa’il Alamin, penghulu wanita semesta alam. Senyum Fatimah adalah senyum yang menghilangkan duka lara Rasul. Pengabdian Fatimah adalah pengabdian untuk Rasul. Fatimah adalah Ummu Abiha, ibu dari ayahnya, demikian kata-kata suci Rasul menyebut Fatimah dengan penuh rasa bangga.

Fatimah adalah pewaris seluruh keutamaan ayahnya. Bersama semua Ahlul Bait atau keluarga suci Rasul, Fatimah Az Zahra dijauhkan dari segala noda dan dosa. Keagungan Fatimah dan semua Ahlul Bait Rasul diabadikan dalam ayat At Tathir dalam Al Quran pada surah Al Ahzab ayat 33 yang ertinya:

“Sesungguhnya Allah berkehendak menghilangkan dosa dari kalian, hai Ahlul bait, dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.”

Kelahiran Fatimah adalah anugerah dan nikmat Ilahi kepada Rasul sehingga Allah menyeru Rasul supaya mensyukurinya, sebagaimana yang tertera dalam firman Ilahi yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat demi Tuhanmu, dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang mencela kamu, dialah yang terputus (keturunannya).”

Adalah kebanggan tersendiri bagi wanita muslim supaya dapat mengikuti jejak langkah  Fatimah yang sempurna dalam ketaqwaan, akhlak, dan ilmu. Di mata Imam Khomeini, Fatimah adalah mukjizat dalam sejarah manusia dan merupakan kebanggaan bagi alam semesta. Puteri Rasul adalah wanita mulia yang hidup secara sederhana. Beliau tinggal di sebuah rumah kecil, tempat dia mendidik tunas-tunas insan kamil yang menampung pancaran cahaya Fatimah, cahaya yang menerangi segala wujud, dari butir-butir pasir sahara hingga bintang-bintang di langit dan alam malaikat. Rumah Fatimah adalah tempatnya singgahnya pancaran cahaya Ilahi serta tempat tumbuh dan besarnya manusia-manusia pilihan.

Untuk memahami kebesaran peribadi Fatimah, tentu kita harus terlebih dahulu mengenali ciri-ciri kebesaran peribadi wanita dalam Islam. Islam menyebut lelaki dan wanita sebagai makhluk yang saling melengkapi. Perbezaan jantina tidak ada hubungannya dengan martabat manusia, kerana kemuliaan manusia hanya terletak pada amal perbuatannya. Hanya ketaqwaan yang mampu mengangkat darjat seseorang dari yang lain. Dengan demikian, tak ubahnya dengan lelaki, wanita juga mempunyai tanggungjawab bagi menggapai ketinggian iman dan berada di sisi Tuhannya. Dan wanita yang mampu menunaikan tanggungjawab ini dipandang Islam sebagai wanita yang mulia daripada lelaki yang kurang mampu menunaikan tanggungjawabnya, apalagi lelaki yang  tidak mampu menunaikannya.

Rahbar atau Pemimpin Rohani Republik Islam Iran Ayatullah Sayyid Ali Khamenei menuturkan, “Berbagai masalah yang ada sekarang ini mesti diselesaikan dengan cara-cara bijaksana dan Islamik. Wahyu tidak hanya menyajikan nasihat, tetapi juga menampilkan teladan yang salah satunya ialah Fatimah Azzahra. Fatimah adalah peribadi besar dan istimewa termasuk dalam bidang politik, sosial, dan jihad. Seluruh wanita dunia dapat mengambil iktibar darinya. Kehidupannya adalah samudera yang diwarnai dengan perjuangan, kerja keras, dan yang terpenting ialah syahadah.

Kepada Salman Al Farisi, Rasulullah SAW pernah bercerita tentang darjat iman dan kearifan yang dicapai Fatimah. Beliau bersabda, “Hai Salman, ketahuilah bahawa Allah SWT telah memenuhi kalbu dan seluruh jiwa dan raga puteriku dengan keimanan.”

Sebagai pendamping hidup Syaidina Ali r.a, Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan menjadi suri rumah yang penuh tanggungjawab serta wanita yang juga aktif di di dalam menangani pelbagai gejala sosial. Sedemikian besar peribadi Fatimah sehingga tokoh Islam dan insan sehebat Syaidina Ali merasa tenang dan damai di sisinya. “Saat aku melihat Fatimah.” Kata Syaidina Ali, “hilanglah seluruh duka dan laraku.”

Sementara itu, berkenaan dengan keharusan tokoh besar wanita ini dijadikan sebagai teladan, Pemimpin Rohani Republik Islam Iran Ayatullah  Sayyid Ali Khamenei mengatakan: “Anda yang berkerja di luar rumah, baik anda sebagai doktor, pensyarah di institusi pengajian tinggi, atau ahli-ahli akademik lainnya yang pada tempatnya tentu relevan, namun harus memberikan keutamaannya di dalam rumah. Masalah keibuan, status sebagai isteri di dalam rumah tangga, semuanya merupakan hal amat fundamental dan penting. Namun, anda bukanlah wanita yang sempurna jika anda tidak dapat menangani urusan di dalam rumah. Rasa kasih sayang dalam rumah tangga memerlukan satu pengerak utama dan itu ialah wanita yang menjadi ibu kepada rumah tangga. Tanpa kehadiran wanita atau ibu rumah tangga, maka rumah tangga akan kering tanpa makna.” Hilang serinya.

----------------------------------------
Arif Mufaz merupakan mahasiswa tahun akhir IPTA yang terpengaruh dengan cita-cita revolusi Islam.Karya-karya beliau kerap disiarkan di http://www.ummahonline.cjb.net - 18.07.2003


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com

Click Here!