Terbitan Semula  (Pertama kali disiarkan pada Januari 2000)
Siri Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila - Siri 24
Yang Tenggelam dan Yang Timbul
Oleh: Marhaintua


Penghukuman terbaru ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim akan menjebaknya untuk terus di penjara sehingga usianya melewati enam puluh tahun. Demikianlah impak kerakusan kuasa yang dipunyai oleh seorang diktator tua yang sanggup melihat kesengsaraan yang berpanjangan ke atas satu keluarga yang tidak berdosa. Sedangkan pada satu ketika dulu, si mangsa utama dalam episod ini merupakan seorang anak emas yang diiktiraf untuk mengambil tempatnya sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia. 

Penghinaan yang ditimpakan ke atas DSAI itu adalah satu proses mengaibkan orang Melayu secara keseluruhannya.   Yang merasa lebih tertekan dalam hal ini adalah golongan marhain Melayu yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap pergerakan reformasi yang tercetus sebaik sahaja DSAI dipecat daripada jawatan rasminya. Inilah golongan yang menakjubkan para analis politik di tanah air ini dan juga mereka yagn berada di luara negara. Keyakinan mereka itu merupakan sesuatu yang tidak pernah diduga oleh Mahathir, malahan juga para juaknya. Kemunculan arus reformasi yang menular terus ke seluruh negara dan juga di kalangan masyarakat Malaysia di luar negara bukan sahaja mengejutkan puak Mahathir. Ia membawa satu kesedaran baru kepada semua kuasa besar apakah jadinya dengan arus reformasi itu. Mungkin berulangkah pergerakan ala-Taliban di Malaysia ataupun, apa pula bentuk gelombang reformasi itu jadinya?

Budaya Tenggelam-Timbul

Proses menekan sesiapa juga yang berhasrat menghalang si diktator tua untuk terus berkuasa menyebabkan munculnya gelombang reformasi di negara ini secara meluas. Mahathir yang rakuskan kuasa memang mendapat sokongan padu daripada satu kumpulan aristokrat berbilang kaum di negara ini yang sudah khayal dengan segala kekayaan dan pesona benda dalam hidup mereka. Begitu juga dengan beberapa kumpulan khas yang digaji dengan menggunakan duit rakyat untuk menyemarakkan imej si diktator tua itu di mata dunia. Kumpulan yang serba boleh ini memang sudah berjaya sejak dua puluh tahun yang lalu mengabui dunia betapa si diktator tua adalah Wira Dunia Ketiga dan merupakan seorang ketua negara yang amat disayangi oleh rakyatnya (hehehe). Usaha menonjolkan nama Mahathir sebagai 'Wira' itu dilakukan pelbagai cara sejak begitu lama sehinggakan rakyat negara ini sudah semakin lali dengan permainan songlapannya.

a) Untuk menjadi Wira Dunia Ketiga, Mahathir bersuara lantang mengganyang pemimpin kuasa besar yang berusia lebih muda darinya. Kerana itu Bill Clinton kerap menjadi seorang 'shadowy sparring partner' setiap kali Mahathir memperlekehkan kuasa besar. Malahan pada satu ketika dulu Mahathir cuba menonjolkan 'Proton Saga' untuk dijual di pasaran Amerika. Dia sanggup memperlekehkan Lee Iococca kerana sikap beliau menerima berjuta pampasan daripada sebuah syarikat pengeluar kereta di negaranya. Sebenarnya Mahathir tidak ada hak mempertikaikan bayaran begitu tinggi oleh industri motor Amerika kepada Lee Iococa. Dia bersuara celupar itu kerana dia mahu menonjolkan dirinya sebagai seorang pembuat kereta terulung daripada Dunia Ketiga untuk disebarkan kepada pengetahuan pemimpin dan rakyat Dunia Ketiga. Ironisnya, usaha beliau yang berbelanja besar untuk melancarkan penjualan kereta 'buatan Malaysia' di Amerika itu gagal segagalnya; walaupun dia sudah menggunakan pengaruh Henry Kissinger dan juga kumpulan peniaga Yahudi untuk menjadi agen Proton America Incorporated.

b) Setelah gagal di Amerika, Mahathir cuba mengembangkan sayapnya di Afrika. Di sini dia berjaya untuk melonjakkan namanya menjadi popular. Tetapi, berapa ratus jutakah yang telah dibazirkan di setiap negara miskin di Afrika itu, sebagai bahan promosi kempen itu? Dia menjadi popular di Afrika kerana banyak syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham yang membawa modal rakyat Malaysia untuk dilaburkan di sana. Berapa banyak kini pelaburan itu yang lingkup dan memerlukan bantuan Mahathir untuk menenangkan keadaan di sana? Kebanyakan perusahaan itu dilakukan kerana Mahathir mahu mereka melabur di sana dan kerana beliau mahu melawat negara itu melihatkan kemajuannya. Dia hanya berhenti melawat projek tersebut apabila terjadi kebuntuan dan setelah projek itu ternyata akan lingkup. Tetapi, apakah rakyat di negara ini diberitahu kenapa projek itu lingkup? Begitulah juga halnya dengan beberapa projek koperat Malaysia di Negara China, di Lautan Pasifik dan juga di Latin Amerika. Banyak yang lingkup sedangkan modal itu datangnya daripada pelaburan rakyat Malaysia di Bursa Saham BSKL. Betapa pula halnya dengan beratus lagi Memorandum of Understanding (MOU) yang ditandatangani semasa Mahathir melawat negara luar itu? Hampir sembilan puluh peratus MOU itu tidak pun dilaksanakan sedangkan perbelanjaan Mahathir dan semua menteri dan pegawai kerajaan telah mencecah jutaan ringgit untuk melakonkan penyaksian majlis tandatangan MOU tersebut.   

Contoh di atas adalah faktor penting dalam sejarah pemerintahan Mahathir di mana satu lakonan drama yang amat panjang telah dilakukan oleh Mahathir dan para juaknya. Kebanyakan lakonan itu terlaksana di luar negara kerana ketika itu khazanah negara memang kaya raya. Mahathir dan para menterinya serta pegawai tinggi kerajaan bersimpang siur di angkasa raya untuk melakonkan drama panjang itu. Timbullah pelbagai jolokan ke atas Malaysia sebagai 'God Sent Nation' dan si diktator tua pun diberikan jolokan sebagai Wira Dunia Ketiga. Semua jolokan itu bukan datang daripada rakyat dan pemimpin dunia ketiga mahupun kuasa besar yang berkaitan. Inilah jolokan yang dilakonkan oleh semua agen pembaikan imej upahan yang menerima bayaran berjuta ringgit setiap bulan. Rakyat akur dengan segala jolokan itu kerana terkhayal dengan drama yang dilakonkan dan segala iklan yang mengiringi lakonan itu. Sebaik sahaja wang perbendaharaan negara kering kontang, lakonan di pentas dunia pun ditenggelamkan untuk satu ketika.    

Untuk mengekalkan keunggulaan namanya sebagai Wira Dunia Ketiga lakonan panjang perlu diperpanjangkan lagi. Walaupun khazanah negara semakin kontang, si diktataor tua masih lupa daratan bahawa lakonannya sudah tidak diperlukan lagi. Dengan kuasa Allah SWT ekonomi negara merudum melibatkan kemuflisan di kalangan rakyat yang menjela panjangnya. Kemuflisan yang paling ketara telah menjangkau setiap syarikat anak-anak, adik beradik, para juak dan kroni. Mahathir mengelabah kerana semua ini membawa padah yang amat ketara kalau diketahui oleh rakyat dan juga seluruh dunia. Anak-anak yang menonjol tanpa sebarang ilmu pengetahuan yang setara dengan rentak kegianan mereka berniaga perlu perhatian si bapa yang semakin gelabah. Apatah lagi kalau kegelabahan itu pun turut menular kepada si ibu yang tidak kurang rakus dan pelahapnya. Sebagai reaksi utama, segala bentuk bantuan menggunakan harta pesaka rakyat digembeling untuk menyelamatkan perniagaan si anak-anak itu. Impaknya, ekonomi negara merudum lagi dan rakyat marhain terus hidup tersiksa.   

Semua lakonan ini masih diselimuti satu kepalsuan kerana rakyat tidak tahu taktik sebenar perjalanan lakonan drama yang panjang itu. Tetapi, DSAI memang tahu akan perjalanannya dan usaha beliau untuk menyanggah lakonan serakah itu telah menerima padahnya. Drama menyelamatkan perusahaan anak-anak dan para kroni terpaksa ditangguhkan untuk sementara. Ketika itu satu pasukan khas ditubuhkan untuk menimbulkan satu drama baru sebagai selingannya. Di sinilah munculnya pelakon baru yang bernama Azizan Abu Bakar, Ummi Hafilda, Musa Hassan, Khalid Jaffri, Redzuan, Patail Bersaudara, Mokhtar Ahmad, Augustine Paul, Ariffin Jaka dan banyak nama lagi yang semuanya merupakan nama yang aib dalam sejarah moden Melayu.   

Semua nama ini dipilih khas oleh satun 'lembaga' pemilih yang merupakan balaci emas seorang diktator tua. Mereka ini termasuklah manusia yang dikenal sebagai Pakar tanam Orked di Tiang Lampu dan padi di atas bumbung, pakar sungkit-menyungkit, pakar urut mengurut, si pendek tetapi berakal panjang (mungkin ada lagi yang panjang yang tidak kita ketahui), pakar agama tetapi kurang bijak mengembangkan syiarnya dan beberapa jenis pakar lagi. Pengemblengan dua kumpulan ini telah menghasilkan satu drama yang panjang yang telah membelanjakan berjuta ringgit apabila Kes Anwar dibawa ke mahkamah. Sebelum itu kes Munawar Anees, Dharma Kesumatmaja, Nallakaruppan dan beberapa ramai orang lagi telah dilibatkan di mahkamah. Mereka didera dan diaibkan oleh proses mahkamah sedangkan mereka bukannya berdosa apa-apa. Mereka diugut untuk dihukum bunuh atas tuduhan palsu yang sengaja diada-adakan semata-mata mahukan mereka menuduh Anwar Ibrahim sebagai insan yang hina kelakuannya. Allah menyebelahi semua insan ini. Walaupun dari segi semangat dan ketahanan diri ada di kalangan mereka yang disiksa sehina-hinanya, mereka mampu bertahan dan tidak mengaku salah untuk terus menjebak DSAI. Sayangnya moral mereka itu telah diaibkan sehinggakan parut luka yang ditinggalkan oleh penderaan bersistem itu akan menghantui hidup mereka seterusnya.   

Kini, DSAI sudah pun menerima hukuman yang terbaru. Apakah sudah selesai masalah si diktator tua? Apakah beliau semakin kukuh dan tegap untuk terus berkuasa? Apakah dinasti lakaran nafsu nafsinya akan terus kekal di bumi Malaysia yang bertuah ini?   

Menyedari bahawa drama panjang yang melibatkan bekas anak emasnya itu sudah gagal, para jongos yang turut merencana drama panjang itu telah melancarkan beberapa drama kecilan sebagai sampingan dan bahan untuk dijadikan lebih panjang. Tujuan sebenarnya ialah untuk menggantikan drama DSAI itu dengan drama yang baru. Tercetuslah cerita Sauk yang semakin menyauk ramai menteri dan anggota kabinet yang rakus.   

Drama Sauk Menyauk

Episod Sauk kini masuk Fasa Kedua. Fasa Pertama dulu melibatkan segerombolan anggota yang dipanggil Al Maunah yang kini dituduh sebagai menderhaka kerana melarikan sekumpulan senjata perang dan berehat di atas sebuah bukit bernama Bukit Jenalik yang terletak sekitar 400 meter daripada jalanraya Sauk-Lenggong. Setelah merompak senjata daripada dua kem tentera pasukan itu telah melarikan senjata untuk diacu tembak secara mendadak di atas bukat itu. Kereta Pajero yang digunakan untuk rompakan diletakkan pula di tepi jalan agar senang dikesan. Sambil mereka menembak ke udara, pasukan polis dan tentera digembeling oleh kerajaan untuk mengepong mereka.    

Inilah drama bersenjata yang terpendek di dunia. Ironisnya ia masih tidak lagi didaftarkan dalam Buku Guiness Dunia, sedangkan Halim Othman  yang mencuba mencatatkan waktu baru bertugas sebagai DJ Radio (Radio Era) tanpa henti sudah pun menerima sijilnya daripada Malaysian Book of Records. Lebih 4,000 anggota tentera dan polis digembleng mengepung 27 penderhaka (bilangannya kini bertambah apabila dihadapkan ke mahkamah). Mereka melarikan senjata perang dan mengangkutnya ke atas bukit untuk dikepung oleh satu kumpulan bersenjata yang cukup terlatih dan cukup makan. Ironisnya mereka bertahan di bukit itu tanpa bekalan makanan yang ketara kerana bekalan makanan mereka rupanya dihantar daripada luar pula melalui satu 'terowong' yang tidak dikesan oleh sesiapa sehingga ke hari ini.   

Inilah satu kumpulan yang berasaskan ilmu kebatinan tetapi di tempat persembunyian mereka itu, bekalan air untuk bersolat adalah jauh di bahagian bawah bukit dan berada di luar kawasan mereka menggali lubang untuk mempertahankan diri. Kalau perkara strategik untuk mempertahankan kubu sendiri tidak dibuat secara logiknya, apakah kumpulan ini mampu menumbangkan satu kerajaan yang lama sudah berkuasa dengan ketumbukan tentera yang teruji sejak Perang Dunia Kedua?   

Kesimpulannya, inilah drama baru yang ditimbulkan untuk mengambil alih drama panjang di mahkamah yang semakin akan ditenggelamkan itu. Rakyat bangkit dan menyanggah kerajaan dengan tohmahan Episod Sauk adalah satu penipuan. Mahathir bangkit dengan lantang dan mengugut sesiapa yang mengatakan Sauk adalah satu drama dan lakonan, akan dikenakan tuduhan di bawah Akta ISA. Yang lucunya kenapakah Episod itu dilakonkan semula sekarang ini lebih daripada tiga kali kalaulah episod itu bukannya satu lakonan kerajaan pada tahap awalannya? Lakonan semula itu terpaksa dilakukan kerana kedegilan rakyat mempercayai berita asal. Rupanya rakyat tidak dapat menerima kisah seorang panglima menepis muncung senapang yang meledakkan peluru yang membunuh seorang pengikut Prebet Amin. Kedegilan rakyat itu memang berasas kerana beberapa hari kemudiannya didapati berita polis yang memberikan hadiah dan anugerah kepada pasukan komando yang berjaya "menundukkan pasukan Amin sebelum beliau didatangi oleh seorang penglima tentera untuk berbincang dengannya."   

Jelas, lakonan semula itu bertujuan untuk melengahkan keadaan saspen yang sudah pun menyelubungi seluruh ketumbukan angkatan tentera Malaysia yang semakin resah kini. Mahathir amat faham akan masalah ini kerana dia menerima banyak maklumat mengenai keresahan pasukan angkatan tentera. Kerana itu sejak satu bulan yang lalu pelbagai rencana sudah dilakarkan untuk menarik minat anggota tentera menyokong kerajaan. Ucapan pemimpin UMNO dan kerajaan pun semakin berlembut kini terhadap anggota angkatan tentera. Mereka sedar betapa undi tentera tidak lagi menjadi undi yang menyokong mereka. Mereka tahu kalau tentera sudah berpaling tadah besar kemungkinnnya nanti ramai pemimpin yang ada akan kehilangan rumah dan berada di penjara, dalam satu waktu yang terdekat. Dengan lain perkaaan, Mahathir sudah semakin gelabah. Dia sudah menuduh para konspirator yang cuba memperkuatkan kedudukannya dengan Episod Sauk dulu. Mereka terpaksa melakonkan episod itu semula kerana itulah nasihat pakar imejnya. Secara tiba-tiba Mahathir tersedar bahawa proses merobotkan orang Melayu selama dua puluh tahun ini sudah hilang bisanya.   

Drama Mahkamah Yang Semakin Punah

Apa juga yang akan dilakonkan, rakyat tidak akan menerimanya waima lakonan itu sesuatu yang 'real' sekali pun. Rakyat sudah jelak dengan pemerintahan Mahathir. Yang teristimewa sekali, rakyat sudah jijik dengan nama Diktator Mahathir, apatah lagi yang empunya nama.  Inilah bahananya kesilapan merobotkan pemikiran rakyat negara ini yang tersilap rencananya. Diktator Mahathir sudah menggunakan segala teknik maklumat songsang moden untuk merobotkan pemikiran orang Melayu. Dia tersilap langkah kerana tidak memahami apa yang ada dalam sanubari orang Melayu yang cuba dirobotkannya itu. Alhamdullillah, sekumpulan besar orang Melayu masih mempunyai ketaqwaan yang mampu menjadi perisai  mempertahankan martabat mereka.   

Diktator Mahathir telah meliwat martabat mahkamah negara untuk mengekalkan kuasanya. Sistem pengadilan menjadi punah-ranah sebaik sahaja beliau menyingkirkan seorang hakim terkenal di negara Komenwel, yang bernama Tun Salleh Abas. Mahathir telah mengganyang Tun Salleh Abas dan kemudiannya menghancurkan kerjaya Hakim Tan Seri Wan Sulaiman dan Dato George Seah. Namun, Allah lebih berkuasa. Mahathir sudah berada di ambang kepupusan kuasanya, sedangkan Tun Salleh Abas sudah timbul kembali dengan kuasa yang tidak kurang hebatnya di Terengganu. Betapa pun Mahathir cuba menenggelamkan kewibawaan Tun Salleh Abas, rakyat marhain di Terenganu lebih mengenal  siapa yang lebih berwibawa di antara Mahathir dan Tun Salleh Abas itu.   

Drama Sampingan Yang Diperlukan

Kepunahan sistem kehakiman negara membuatkan Mahathir semakin gelabah. Dia telah mengarahkan para juaknya melakukan sesuatu agar rakyat marhain akan terus menyokongnya. Rencana mereka sudah menjadi kucar-kacir. Kerana itu apa juga yang akan timbul secara mendadak dan di luar perencanaan asal mereka akan dipergunakan sebaik mungkin untuk melencongkan fikiran rakyat daripada menumpukan minat  terhadap pergerakan menentang Mahathir, Paklah dan juga pemerintahan mereka.   

Secara tiba-tiba Episod Abu Hassan Omar timbul tidak semena-mena. Walaupun kes ini muncul dulu di Jawa Pos Indonesia, pendedahan yang dibuat oleh orang UMNO itu sebenarnya merupakan hasil penyelidikan yang memakan masa lima tahun. Abu Hassan terpaksa akur kepada tekanan keadaan dan menyerah kalah. Soalnya sekarang, apakah adik ipar Abu Hassan itu sedarah-sedaging dengan isterinya? Ataupun apakah benar si adik ipar itu merupakan seorang anak-angkat kepada  ibu bapa isteri Abu Hassan? Kalaulah benar cerita ini, Abu Hassan sepatutnya berterus terang untuk membetulkan perjalanan drama sampingan itu. Yang mencekiknya dalam hal ini ialah kaedah si anak itu didaftarkan kerana membabitkan orang luar yang sanggup melakonkan peranan 'Cina Buta Versi UMNO'. Lagipun terdapat unsur penipuan dan perlanggaran perlembagaan negara dalam proses pemalsuan pendafaran itu. Inilah perkara  berat yang tidak terlintas lansung oleh Abu Hassan ketika dia mula merencana kerja tipu daya untuk menutup kesalahan peribadinya. Inilah juga drama sampingan yang disogokkan kepada Mahathir untuk memudahkannya diturunkan oleh rakyat daripada singgahsana kepalsuannya.   

Sebenarnya satu pengajaran besar dapat diperolehi dalam episod Abu Hassan Omar. Ia menyerupai cerita Abu Hassan Tukang Jahit, tetapi dalam hal ini yang dijahit itu adalah kisah nafsu-nafsinya. Kini jahitan itu sudah tetas. Tetapi, ia memberi  kita satu pengajaran betapa amat mudahnya dilakukan putar belit menipu daftar negara erutama sekali bagi melayakkan orang yang tidak layak menjadi pengundi di pilihanraya. Apakah secara kebetulan semata-mata, kisah penipuan dalam mendaftarkan nama kelahiran si anak dalam Episod AHO dengan cerita bagaimana Kumpulan Abu Sayyaf bertindak kerana merasakan diri mereka tertipu setelah digunakan oleh kerajaan BN dalam memainkan peranan undi hantu di Pemilu-10 dulu. Tak mungkin Allah mencetusakn insiden 'yang kebetulan' terlalu banyak ketika ini.   

Budaya tenggelam-timbul akan merupakan satu budaya terbaru yang direncana oleh si diktator tua untuk terus berkuasa. Budaya ini akan merupakan senjata terbaru untuk memperbetulkan proses merobotkan pemikiran rakyat marhain. Setiap hari ada sahaja pemimpin UMNO dan BN yang menimbulkan isu baru dan ada sahaja pemimpin bawahan UMNO yang bersuara lantang memukul canang menghangatkan isu yang ditimbulkan itu. Reaksi rakyat akan dipantau setiap masa dengan pelbagai cara. Kalau rakyat terjebak dengan perangkap itu, isu yang hangat itu akan terus diperhangatkan lagi. Kalau boleh parti pembangkang seperti PAS dan Keadilan akan dibabitkan dalam isu itu secara negatifnya. Mahathir, UMNO dan Barisan Nasional tidak ada modal lain lagi. Mereka terpaksa menayangkan isu yang timbul itu laksana satu drama yang sensasi juga.   

Dalam hal ini, peranan para reformis amat penting sekali. Para penganalisa situasi gawat ini harus menyedari akan setiap perubahan isu hangat yang ditimbulkan dan pantas bertindak untuk menyedarkan rakyat jelata. Biarlah Mahathir cetuskan berpuluh isu hangat setiap hari sebagai umpan merobotkan pemikiran rakyat.  Biarkanlah isu hangat itu menjadi satu drama panjang, kerana ia tidak akan berjaya menarik minat rakyat untuk selamanya. Lagi banyak drama yang sengaja diadakan, lagi baik untuk negara. Dari situ nanti akan terserlah segala kejijikan pemerintahan si diktator tua. Dari situ nanti akan muncul satu reaksi daripada rakyat yang akan mencetuskan satu drama pendek sahaja. Dalam drama rakyat itu segala yang timbul akan ditenggelamkan dan segala yang sengaja ditenggelamkan akan ditimbulkan.   

Apabila proses merobotkan rakyat itu tidak mampu memperkuatkan budaya tenggelam timbul yang sengaja dicetuskan itu, rakyat akan bangkit secara aman; bersatu padu dan bersuara lantang. Rakyat akan memenuhi setiap ceruk jalanan untuk berganding bahu meminta Mahathir dan segala konconya mengundurkan diri sebelum mereka ditenggelamkan oleh sejarah dengan kejamnya. Sejarah akan menunjukkan kalau bermula satu demonstrasi aman secara menyeluruh di seluruh negara, demonstrasi itu akan berlarutan sehinga sidiktator tua mengaku kalah. Janganlah Mahathir dan Aziz Shamsuddin cuba menyekat kebangkitan rakyat cara ini, kerana bahananya akan memeranjatkan seluruh dunia nanti.   

- Marhaintua
16 Ogos, 2000  
marhaintua@hotmail.com


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~
Click Here!